KOTA KINABALU: Sabah bakal memiliki Hospital Institut Jantung Negara (IJN) sendiri tidak lama lagi susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Yayasan Sabah melalui syarikat pelaburannya Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) dan IJN hari ini.
Majlis menandatangani MoU untuk membina hospital itu disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Isnin.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata penubuhan hospital jantung pertama di Sabah itu merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.
Di bawah kerjasama strategik antara Yayasan Sabah, dan IJN, sebuah hospital yang khusus untuk rawatan penyakit kardiovaskular akan dibina di atas tapak seluas 10 ekar di Likas.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya berkata dengan adanya hospital jantung bertaraf tinggi di sini, pesakit tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada kemudahan di luar negeri, sekali gus dapat mengurangkan beban kos perjalanan serta mempercepatkan akses kepada rawatan pakar.
“Usaha ini juga akan membantu menyokong sistem kesihatan sedia ada di Sabah, termasuk perkhidmatan di Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II yang pada masa ini mempunyai kapasiti yang terhad berbanding keperluan sebenar rakyat,” katanya.
Menurut Jasnih, kerjasama strategik ini membawa manfaat kepada rakyat Sabah bukan sahaja dari segi peningkatan akses kepada rawatan kesihatan, tetapi juga dari segi pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan.
Pengerusi IJN Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata penyakit jantung masih menjadi penyebab utama kematian di Malaysia dan trend ini memperlihatkan peningkatan keperluan terhadap sistem kesihatan yang lebih responsif dan bersepadu.
Oleh itu akses kepada rawatan berkualiti tinggi perlu diperluaskan agar dapat dinikmati secara lebih menyeluruh tanpa mengira lokasi geografi, katanya.
Dalam pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata langkah pembukaan Hospital IJN di Sabah juga membuka pasaran baru dalam pelancongan kesihatan yang menawarkan perkhidmatan perubatan bertaraf global dengan harga yang berpatutan.
Menandatangani bagi pihak Kumpulan Yayasan Sabah ialah Pengarah Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Pengerusi Eksekutif ICSB Datuk Jasnih Daya, manakala IJN diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Prof Dato Sri Dr Mohamed Ezani Md Taib dan Ketua Pegawai Klinikal Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya.
Pada majlis yang sama, satu lagi MoU turut dimeterai antara University College Sabah Foundation (UCSF) dan IJN University College yang dijangka membuka peluang kepada pembangunan tenaga kerja mahir dan profesional dalam bidang kesihatan.
UCSF diwakili oleh Naib Canselor Datuk Dr Rafiq Idris dan Pendaftar Norashikin Ahmad, manakala Naib Canselor Prof Emerita Dr Durrishah dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN Dato Akmal Arief Fauzi menandatangani bagi pihak IJN University College.
