KOTA KINABALU: Mantan Presiden Kehormat Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, membidas kenyataan Datuk Wilfred Madius Tangau berhubung isu “Countdown” tuntutan 40 peratus hasil Sabah, sambil menegaskan perkara itu tidak wajar dipolitikkan sehingga boleh mengelirukan rakyat.
Beliau berkata, kenyataan Ahli Parlimen Tuaran itu yang mendakwa tiada perkembangan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sepanjang tempoh ditetapkan adalah tidak mencerminkan keseluruhan proses sebenar yang sedang berjalan.
“Isu tuntutan 40 peratus ini adalah perkara serius melibatkan kepentingan negeri dan rakyat Sabah. Ia tidak boleh dilihat secara sempit atau dijadikan bahan tekanan politik melalui naratif ‘countdown’ yang boleh menimbulkan salah faham,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jerry berkata, rundingan berkaitan tuntutan berkenaan yang berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sememangnya dilaksanakan melalui saluran rasmi termasuk platform Jawatankuasa Teknikal Majlis Perunding MA63, yang memerlukan penelitian mendalam serta pertimbangan undang-undang dan fiskal.
Menurutnya, proses rundingan itu juga mengambil kira pelbagai aspek termasuk implikasi kewangan negara serta kepentingan bersama antara Persekutuan dan Sabah, justeru ia tidak boleh diselesaikan secara tergesa-gesa semata-mata untuk memenuhi tekanan tempoh masa.
“Menghormati keputusan mahkamah adalah penting, namun dalam masa sama, semua pihak perlu memberi ruang kepada proses rundingan yang matang, teliti dan berasaskan fakta, bukannya persepsi,” katanya.
Jerry turut mengingatkan bahawa kenyataan terbuka seperti yang dibuat Madius berpotensi mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat, sedangkan perundingan sebenar lazimnya melibatkan perbincangan tertutup di peringkat teknikal dan dasar
Terdahulu, Madius menerusi hantaran di Facebook mempersoalkan ketiadaan perkembangan rundingan susulan keputusan mahkamah yang menetapkan tempoh 180 hari untuk memuktamadkan perkara itu, dengan tempoh berkenaan dijangka berakhir pada 15 April 2026.
Jerry menegaskan bahawa Madius yang pernah berkhidmat sebagai menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan serta memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah dalam pentadbiran negeri terdahulu, sepatutnya lebih memahami selok-belok serta kerumitan proses rundingan antara kedua-dua pihak.
“Dengan pengalaman luas dalam kerajaan, beliau seharusnya arif bahawa rundingan melibatkan kepentingan fiskal, perundangan dan dasar memerlukan masa, ketelitian serta perbincangan di pelbagai peringkat, bukan sesuatu yang boleh dinilai hanya berdasarkan kenyataan terbuka,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Perdana Menteri X, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim telah memberikan jaminan jelas mengenai komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu berkaitan hak Sabah termasuk tuntutan 40 peratus hasil negeri, selaras dengan semangat Perlembagaan dan MA63.
Sehubungan itu, Jerry menyeru semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam mengulas isu berkepentingan negeri, serta mengutamakan pendekatan konstruktif demi memastikan tuntutan hak Sabah dapat direalisasikan secara berkesan dan berlandaskan lunas undang-undang.
