KENINGAU: Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran MHT@Tawik Family yang diadakan di kediaman cucu Tawik, Rafie Robert, pada hari pertama Syawal berjaya menarik kehadiran lebih 1,000 pengunjung dari sekitar daerah ini serta luar kawasan.
Majlis berlangsung dalam suasana meriah dan harmoni dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan dewasa, warga emas dan kanak-kanak, sekali gus mencerminkan semangat kekeluargaan dan perpaduan yang menjadi teras sambutan Aidilfitri.
Para tetamu turut dihidangkan dengan pelbagai juadah istimewa seperti ayam golek, kambing golek, sate, soto, sayap bakar serta aneka hidangan tradisional, kuih-muih dan minuman, yang menambah kemeriahan suasana sepanjang majlis berlangsung.
Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N41 Liawan, Dato’ Nik Nazri Nik Nawawi; Pengerusi Perkasa Hotel Holdings Sdn Bhd, Datuk Flovia Ng; Pemimpin Pembangunan Masyarakat N40 Bingkor, Lectus Fung; serta Ketua Daerah Bingkor, OKK Danil Palangi.
Turut hadir pemimpin masyarakat termasuk Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Mewakili keluarga penganjur, Rafie Robert merakamkan penghargaan kepada semua pengunjung yang hadir memeriahkan majlis berkenaan, selain menyifatkan sambutan yang diterima amat menggalakkan.
Beliau berkata, penganjuran rumah terbuka seumpama itu diharap terus menjadi wadah memperkukuh hubungan silaturahim, memupuk semangat perpaduan serta mengekalkan tradisi kunjung-mengunjung dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di daerah ini.
“Pihak keluarga juga memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan sepanjang penganjuran majlis,” katanya.
Majlis berakhir dalam suasana penuh keceriaan dan muhibah, sejajar dengan semangat Aidilfitri yang menekankan nilai persaudaraan, keharmonian serta kebersamaan masyarakat.
