PENAMPANG: Sebuah rumah kediaman musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran yang berlaku berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yue Min, pagi tadi.
Ketua Balai BBP Penampang, Zeno Tinggalan berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.03 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira empat minit kemudian.
Menurut beliau, kebakaran melibatkan sebuah rumah kediaman tunggal jenis separuh kekal dengan keluasan anggaran 30 x 30 kaki yang terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki, satu breeching serta dua pancutan dengan sumber air diperoleh daripada jentera bomba dan water tanker,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi tersebut melibatkan seramai 20 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Kota Kinabalu dan Putatan dengan bantuan beberapa agensi lain termasuk Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.29 pagi sebelum dipadam sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada jam 10.27 pagi.
Tambah Zeno, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.
“Pemeriksaan lanjut turut dijalankan di sekitar kawasan bagi memastikan tiada lagi punca bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya,” jelas beliau.
