KENINGAU: Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Robert Tawik, menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam, khususnya masyarakat di kawasan Bingkor dan sekitarnya.
Beliau menyeru agar sambutan Syawal diraikan dengan penuh kesyukuran, kesederhanaan serta semangat perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Menurutnya, Aidilfitri bukan sekadar perayaan tahunan, sebaliknya merupakan detik penting untuk kembali kepada fitrah dengan memperbaiki hubungan, mengeratkan silaturahim serta saling bermaafan.
“Hari Raya adalah waktu terbaik untuk kita merapatkan kembali hubungan sesama insan, membuang segala sengketa dan memperkukuh ikatan persaudaraan,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri.
Robert berkata, nilai kebersamaan dan keikhlasan yang dizahirkan sepanjang sambutan Aidilfitri wajar terus dipelihara kerana ia menjadi asas kepada keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau bersama keluarga turut mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan serta kesilapan.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Semoga Syawal ini membawa keberkatan, mempererat silaturahim dan mengukuhkan perpaduan kita semua,” katanya.
