TAWAU: Kehadiran ribuan warga Tawau dan kawasan sekitarnya memeriahkan suasana sebuah majlis yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni, sekali gus memperkukuhkan lagi ikatan silaturahim antara pemimpin dan rakyat.
Majlis tersebut turut diserikan dengan detik bermakna apabila seramai 80 penerima asnaf menerima sumbangan sebagai tanda keprihatinan, selain berkongsi kegembiraan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan selaku tuan rumah majlis.
Turut bersama dalam penyampaian tersebut ialah Pengarah KYS Kumpulan Yayasan Sabah, Dato Sri Gulamhaidar Khan Bahadar.
Kelihatan dalam gambar, kedua-dua pemimpin tersebut menyerahkan sumbangan kepada penerima sambil diperhatikan oleh Bendahari Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Apas, Datuk Najib Tay Abdullah.
Inisiatif seperti ini mencerminkan komitmen berterusan pemimpin dalam membantu golongan memerlukan, khususnya dalam memastikan tiada pihak yang terpinggir menjelang sambutan perayaan.
Majlis berkenaan juga menjadi platform penting dalam mendekatkan kepimpinan dengan rakyat, selaras dengan usaha memperkukuh kesejahteraan sosial dan perpaduan masyarakat di negeri ini.
