PENAMPANG: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun berjaya diselamatkan selepas dipercayai cuba terjun dari tingkat lima sebuah pusat beli-belah di Donggongon, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.19 petang itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian cubaan bunuh diri di tingkat lima Megalong Mall.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, sepasukan enam anggota bomba bersama sebuah kenderaan utiliti VIGO digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira tiga minit kemudian selepas balai yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati seorang remaja perempuan berada di bahagian atas bangunan dan dipercayai cuba terjun.
“Anggota bomba bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudian menjalankan usaha memujuk mangsa agar tidak bertindak di luar kawalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Zeno berkata, hasil usaha memujuk yang dijalankan, mangsa akhirnya berjaya ditenangkan sebelum dibawa turun dalam keadaan selamat.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata, setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6 petang.
