TAMBUNAN: Pengerusi Persatuan Pelancongan Luar Bandar Bingkor, Razzidin Robert, menghulurkan sumbangan wang tunai kepada Rumah Anak Yatim Tambunan dalam satu program kebajikan yang diadakan baru-baru ini.
Sumbangan berkenaan disampaikan sebagai tanda keprihatinan persatuan terhadap kebajikan golongan memerlukan, khususnya anak-anak yatim, selain bertujuan membantu menampung keperluan harian rumah kebajikan berkenaan.
Sumbangan itu diterima Pengetua Rumah Anak Yatim Tambunan, Noor Jannah Rusinin, yang mewakili pihak pengurusan dan penghuni rumah anak yatim berkenaan.
Razzidin berkata, inisiatif itu selari dengan komitmen persatuan untuk terus memainkan peranan aktif dalam program kebajikan masyarakat setempat.
“Sumbangan ini mungkin tidak seberapa, namun diharapkan dapat membantu keperluan harian anak-anak yatim di sini serta memberi sedikit keceriaan kepada mereka.
“Kami berharap usaha ini mendapat keberkatan dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk bersama-sama menghulurkan sumbangan demi kebajikan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Noor Jannah merakamkan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan yang disalurkan, sambil menyifatkannya sebagai bantuan yang amat bermakna kepada rumah kebajikan berkenaan.
“Pihak kami amat menghargai sumbangan daripada Pengerusi Persatuan Pelancongan Luar Bandar Bingkor. Bantuan yang diterima ini banyak membantu dalam menampung keperluan harian serta kebajikan anak-anak yatim di rumah ini,” katanya.
Beliau turut berharap lebih banyak pihak tampil menghulurkan bantuan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan anak-anak yatim terus terpelihara.
