KENINGAU: Timbalan Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Razzidin Robert, mengumumkan peletakan jawatan berkenaan serta keluar sebagai ahli parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Dalam satu kenyataan hari ini, Razzidin berkata keputusan berkenaan dibuat selepas melalui pertimbangan yang teliti dengan mengambil kira hala tuju serta keperluan diri dalam meneruskan khidmat kepada masyarakat.
Menurutnya, keputusan itu bukan sesuatu yang mudah, namun diyakini sebagai langkah paling wajar pada ketika ini demi kesinambungan peranan dan sumbangannya kepada rakyat.
“Saya ingin memaklumkan keputusan muktamad untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Exco Wiramuda STAR Sabah serta keluar sebagai ahli parti berkuat kuasa serta-merta,” katanya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan parti, rakan seperjuangan, ahli serta penyokong STAR Sabah yang selama ini memberikan kepercayaan, ruang dan kerjasama kepadanya.
Razzidin berkata segala pengalaman yang diperoleh sepanjang penglibatan dalam parti berkenaan amat dihargai dan akan kekal menjadi asas penting dalam perjalanan politik serta khidmat masyarakatnya pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmennya untuk terus berbakti kepada masyarakat Sabah, khususnya di Parlimen Keningau, menerusi pendekatan yang lebih sesuai selaras dengan prinsip dan nilai yang dipegangnya.
“Saya akan terus berkhidmat kepada masyarakat demi Sabah yang lebih baik,” katanya.
Razzidin sebelum ini aktif dalam sayap Wiramuda STAR Sabah dan terlibat dalam pelbagai program kemasyarakatan serta pembangunan belia di peringkat akar umbi.
