KENINGAU: Pengerusi Persatuan Pelancongan Luar Bandar Bingkor, Razziddin Robert menghulurkan sumbangan berupa beras dan wang tunai kepada Pusat Tahfiz Ar-Rahman Keningau sebagai tanda sokongan terhadap usaha pusat berkenaan melahirkan generasi Al-Quran.
Sumbangan itu disampaikan kepada Pengerusi Pusat Tahfiz Ar-Rahman Keningau, Hishammuddin Sulaiman bagi pihak pengurusan serta para pelajar pusat tahfiz berkenaan.
Razziddin berkata, sumbangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan beliau dalam memperkasakan pendidikan Islam, khususnya institusi tahfiz yang memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah, akhlak dan jati diri generasi muda.
“Usaha melahirkan generasi Quranik memerlukan sokongan berterusan daripada semua pihak. Sumbangan ini diharap dapat membantu kebajikan pelajar serta melancarkan urusan pengurusan pusat tahfiz,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan itu.
Beliau turut menegaskan, inisiatif kebajikan seumpama itu bukan sahaja mampu meringankan beban institusi pendidikan Islam, malah menjadi pelaburan akhirat yang berpanjangan.
“Semoga sumbangan ini menjadi saham akhirat dan memberi dorongan kepada para pelajar untuk terus menuntut ilmu serta menghafaz Al-Quran dengan penuh kesungguhan dan istiqamah,” katanya.
Sementara itu, Hishammuddin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas sumbangan yang disalurkan, selain mendoakan agar Allah SWT memberkati niat murni berkenaan serta melimpahkan rezeki kepada semua pihak yang terlibat.
