SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan telah berjaya merampas sejumlah rokok disyaki tidak berkastam dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Kampung Sungai Kayu, Batu 7, Sandakan pada malam tadi.
Bertindak atas maklumat daripada orang awam berhubung aktiviti penyeludupan serta pemunggahan rokok seludup di kawasan tersebut, sepasukan anggota PPM Sandakan telah menjalankan pemantauan di sebuah rumah di Kampung Sungai Kayu pada 12 Mac 2026 kira-kira jam 7.30 malam.
Hasil pemantauan yang dijalankan selama beberapa jam di sekitar rumah berkenaan mendapati tiada sebarang aktiviti mencurigakan dikesan. Susulan itu, pasukan serbuan PPM Sandakan telah menghampiri rumah tersebut bagi tujuan pemeriksaan lanjut.
Pemeriksaan di dalam rumah berkenaan mendapati terdapat beberapa bungkusan plastik berwarna hitam yang diletakkan di ruang rumah tersebut. Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan berkenaan mendapati ia mengandungi pelbagai jenis rokok yang disyaki tidak berkastam antaranya rokok putih jenama Era Ice Plus, Satos Black Menthol, Satos Blue dan lain-lain.
Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah lebih kurang RM204,000.00.
Kesemua barang rampasan telah dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat serta menyeru masyarakat untuk terus bekerjasama dengan pihak polis dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.
