KOTA KINABALU: Rampasan 27 tan ayam sejuk beku import tanpa permit oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah bukan sekadar mendedahkan pelanggaran undang-undang import, tetapi membuka persoalan lebih besar tentang ketelusan dan keberkesanan sistem kawalan makanan negara, khususnya berkait jaminan halal.
Dalam kes ini, ketiadaan permit import bermakna keseluruhan proses pengesahan rasmi tidak dapat dirujuk, termasuk maklumat sumber, kaedah pemprosesan, rantaian pengendalian serta pematuhan kepada piawaian halal.
Aktivis masyarakat dan Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS), Kefayatullah Malik, berkata isu tersebut perlu dilihat secara lebih kritikal kerana permit adalah pintu masuk utama kepada semua mekanisme kawalan, termasuk aspek halal.
“Apabila sesuatu produk dibawa masuk tanpa permit, kita bukan sekadar kehilangan rekod logistik.
Kita kehilangan keseluruhan sistem semakan. Dalam konteks halal, itu bermaksud tiada jaminan – hatta terhadap sembelihan,” katanya.
Menurutnya, isu halal tidak boleh disempitkan kepada label atau andaian semata-mata, sebaliknya bergantung kepada dokumentasi, audit dan pengesahan berperingkat yang hanya wujud melalui saluran rasmi.
“Tanpa permit, tiada rujukan negara asal, tiada pengesahan rumah sembelih, tiada jaminan siapa yang menyembelih, bagaimana ia disembelih dan sama ada proses itu mematuhi syarak atau tidak. Ini bukan tuduhan, ini fakta sistemik,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kegusaran masyarakat Islam berpunca daripada kegagalan struktur, bukan sentimen atau emosi.
Lebih membimbangkan, katanya, isu itu tidak terhad kepada penyeludupan tanpa permit semata-mata, tetapi turut melibatkan persoalan integriti dalam kalangan pemain industri yang beroperasi secara sah.
“Realitinya, walaupun sesuatu produk mempunyai permit, masih wujud ruang manipulasi jika sistem audit lemah. Pertukaran sumber, penyalahgunaan dokumen dan ketirisan penguatkuasaan bukan perkara asing. Sebab itu isu ini perlu ditangani secara menyeluruh, bukan kes demi kes,” katanya.
Beliau berpandangan bahawa pendekatan penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi jika tidak disertai pembaharuan struktur yang menyentuh ketelusan dan kebolehkesanan.
Antara langkah yang dicadangkan termasuk pendedahan maklumat asas import kepada umum, pemerkasaan audit bebas, serta sistem kebolehkesanan digital yang membolehkan pengguna mengetahui sumber dan laluan produk makanan, khususnya produk berisiko tinggi seperti daging dan ayam.
“Jika pengguna boleh menjejaki dari mana produk datang dan siapa yang bertanggungjawab di setiap peringkat, ruang manipulasi akan mengecil dengan sendiri,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa tanggungjawab tidak terletak kepada penguat kuasa semata-mata. Pengimport perlu melihat pematuhan sebagai amanah moral dan sosial, bukan sekadar syarat perniagaan.
“Dalam industri makanan, kejujuran bukan pilihan. Sekali kepercayaan runtuh, keseluruhan ekosistem halal akan terkesan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menggesa umat Islam agar lebih kritikal sebagai pengguna dan tidak menyerahkan sepenuhnya soal halal kepada pihak berkuasa atau pasaran.
“Pengguna yang bertanya, memilih dan menuntut ketelusan adalah sebahagian daripada sistem kawalan. Tanpa tekanan dari pengguna, pembaikan sistem akan bergerak perlahan,” katanya.
Kefayatullah berkata insiden rampasan itu seharusnya menjadi titik tolak untuk menilai semula keberkesanan sistem kawalan makanan negara secara menyeluruh.
“Ini bukan soal menyalahkan sesiapa. Ini soal mengakui bahawa apabila sistem gagal, risiko bukan hanya pada undang-undang, tetapi pada apa yang masuk ke dalam tubuh manusia,” katanya.
