KENINGAU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang menegaskan kepentingan sokongan padu rakyat serta peranan masyarakat sebagai rakan strategik Kerajaan Negeri dalam merealisasikan agenda pembangunan Sabah secara menyeluruh.
Beliau berkata, kepimpinan Ketua Menteri (KM) yang konsisten, inklusif dan berpaksikan kepentingan rakyat menjadi teras utama kepada kestabilan politik serta kemajuan pembangunan negeri, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap hala tuju pentadbiran Kerajaan Negeri.
Menurutnya, Hajiji merupakan seorang pemimpin berjiwa besar dan tulus dalam melaksanakan amanah, selain sentiasa mendekati rakyat sama ada ketika berhadapan cabaran mahupun dalam usaha membina masa depan Sabah yang lebih mampan dan sejahtera.
“Sabah dan rakyatnya amat bertuah kerana memiliki seorang KM yang bukan sahaja mempunyai visi pembangunan yang jelas dan berfokus, malah sentiasa membuka ruang kerjasama antara kerajaan dan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Yazid menyeru seluruh rakyat Sabah supaya menyahut aspirasi dan harapan KM dengan memberikan sokongan berterusan serta memainkan peranan aktif sebagai rakan kongsi Kerajaan Negeri dalam menjayakan agenda pembangunan ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat.
Beliau yakin bahawa melalui semangat perpaduan, kerjasama erat serta kepercayaan bersama antara rakyat dan kepimpinan negeri, Sabah akan terus melangkah maju sebagai sebuah negeri yang aman, makmur dan sejahtera demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.
