KENINGAU: Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Keningau merangkap Setiausaha Pemuda GRS Pusat, Encik Rafie Robert, meneruskan program Ziarah Kasih dengan mengadakan tiga kunjungan berasingan bagi menyantuni masyarakat yang ditimpa musibah di daerah ini.
Beliau berkata, program berkenaan dilaksanakan sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat selain mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
“Program seperti ini penting kerana ia memberi ruang kepada kita untuk turun padang menyantuni masyarakat, khususnya mereka yang sedang berdepan ujian dan kesusahan,” katanya.
Dalam kunjungan pertama, Rafie menziarahi keluarga mangsa kebakaran rumah yang berlaku tiga hari lalu di Kampung Kauran, di sini.
Pada kesempatan itu, beliau turut menyampaikan bantuan kewangan kepada keluarga terbabit bagi meringankan beban yang mereka tanggung selepas kehilangan tempat tinggal dalam kejadian berkenaan.
Beliau berharap sumbangan yang disalurkan dapat membantu keluarga mangsa selain memberikan semangat kepada mereka untuk terus tabah menghadapi dugaan.
Selain itu, Rafie turut menziarahi keluarga arwah Harizal Hasan bin Asang di Hospital Keningau bagi menzahirkan rasa simpati serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga terbabit.
Beliau turut mendoakan agar roh arwah dicucuri rahmat, manakala keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi saat sukar.
Dalam pada itu, program Ziarah Kasih turut diteruskan dengan kunjungan terhadap Datuk Jasri Matjakir, Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bingkor.
Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana penuh mesra dan bermakna, sekali gus mengukuhkan hubungan silaturahim antara pemimpin parti sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Rafie berkata, usaha menyantuni masyarakat akan terus diperkasakan kerana ia bukan sahaja memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, malah menyemai semangat kebersamaan dalam membantu golongan yang memerlukan.
