PUTATAN: Kerajaan melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berhasrat menjadikan Putatan sebagai pekan durian tahunan serta pusat aktiviti pertanian komuniti melalui pelaksanaan program Kebun Dapur, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.
“Putatan bukanlah kawasan penanaman durian, namun dengan adanya aktiviti seperti ini, Putatan sudah menjadi tempat atau kawasan menikmati durian secara percuma di kawasan bandar,” katanya.
Tahun ini, musim durian dijangka bermula pada bulan Oktober, dan tahun depan saya sendiri akan menaja lebih banyak durian untuk program ini,” katanya ketika merasmikan Hari Terbuka Peladang Putatan dan Pesta Durian Rakyat, anjuran Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan buat kali kedua di sini, hari ini.
Majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Haji Shahelmey Yahya; ADUN Petagas; Datuk Awang Ahmad Sah Datuk Awang Sahari; ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong dan Pengerusi Lembaga Pengarah Peladang Putatan yang juga Pengerusi Penganjur, Dato Seri Dr Haji Arsit Sedi.
Jamawi menjelaskan bahawa program Kebun Dapur bertujuan merakyatkan sektor pertanian dan perikanan, memberi peluang kepada masyarakat untuk terlibat walaupun tidak memiliki tanah sendiri.
Program ini menawarkan pelbagai pakej termasuk anak ayam, anak itik, anak kambing, udang, ketam, serta anak ikan tilapia dan keli.
“Program ini bukan sahaja mendekatkan rakyat dengan aktiviti pertanian, malah turut menyokong keterjaminan bekalan makanan serta meningkatkan kesihatan komuniti,” tambah beliau.
Beliau turut memohon kerjasama pegawai eksekutif Majlis Daerah Putatan untuk mengenal pasti tanah kosong atau tidak diusahakan bagi dimajukan bersama komuniti. Masyarakat akan dibimbing bercucuk tanam pada hujung minggu bersama keluarga, sekali gus menggalakkan aktiviti pertanian secara kolektif.
Pelancaran rasmi program Kebun Dapur dijadualkan pada awal Februari dan Tuaran dipilih sebagai lokasi pertama, manakala Putatan menjadi lokasi kedua berikutan sambutan hangat masyarakat setempat. Semua agensi di bawah kementerian, di peringkat negeri dan persekutuan, akan terlibat bagi memastikan penyertaan rakyat dapat dimaksimumkan.
Selain memacu aktiviti pertanian, Putatan disasarkan menjadi pusat interaksi belia melalui aktiviti positif.
“Ini bukan sahaja tempat ahli peladang mengusahakan tanah, malah memberi peluang kepada belia mengisi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat,” kata Jamawi.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan dan Lembaga Pengarah Peladang atas komitmen berterusan menganjurkan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Majlis perasmian diserikan dengan penyediaan durian tempatan yang dinikmati semua hadirin.
Jamawi berharap Putatan akan terus dikenali sebagai pusat buah-buahan tempatan, khususnya durian, untuk dinikmati masyarakat setiap tahun.
Terdahulu Jamawi mengadakan pertemuan di Wisma Pertanian dengan 23 orang belia dan beliawanis yang begiat aktif dalam bidang pertanian, ternakan, perikanan dan industri makanan yang akan terlibat sama dengan program Mentor – Mentee dalam Jelajah Kebun Dapur nanti.
