SEMPORNA: Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna (PUSPABUMI) menggesa kerajaan negeri mempercepatkan proses permohonan lesen dan kelulusan tanah bagi memastikan kelangsungan pengusaha pelancongan tempatan di daerah itu.
Timbalan Pengerusinya, Suffian Ahmad berkata, isu pelesenan dan tanah memberi kesan besar khususnya kepada pengusaha kecil dan sederhana yang berdepan kekangan kewangan serta prosedur pentadbiran yang rumit.
Menurutnya, walaupun pihak persatuan mengalu-alukan penubuhan pasukan petugas khas oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), kerajaan juga diharap dapat mempermudahkan proses kelulusan bagi membantu pengusaha tempatan beroperasi secara sah.
“Ramai pengusaha bumiputera bermula secara kecil-kecilan. Kewangan mereka terhad dan proses yang panjang menyukarkan untuk bersaing, lebih-lebih lagi apabila terdapat pengusaha asing yang beroperasi di Semporna,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha PUSPABUMI, Anyrishah Mohd Shah mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas bagi membantu pengusaha bumiputera menyelesaikan isu utama seperti pelesenan dan tanah.
Beliau berkata, antara masalah ketara ialah ketiadaan pejabat Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) di Semporna yang menyebabkan pengusaha perlu ke Tawau untuk memproses permohonan.
“Permohonan tanah di Sabah sangat tinggi, tetapi daerah Semporna tiada pejabat untuk memproses permohonan tersebut. Pengusaha perlu ke Tawau bagi mendapatkan pengesahan, dan ini amat merumitkan serta melambatkan proses kelulusan,” katanya.
Ahli Jawatankuasa PUSPABUMI, Salleh Abdul Salleh pula berkata, penguatkuasaan melalui pasukan petugas perlu disertai pendekatan rundingan bersama pengusaha tempatan sebelum tindakan tegas diambil.
Beliau menjelaskan, antara isu utama ialah status Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang kebanyakannya diluluskan dalam tempoh singkat dua hingga tiga tahun, sedangkan pihak berkuasa tempatan tidak dapat mengeluarkan lesen operasi jika status tanah masih bersifat sementara.
“Masalah ini bukan kerana pengusaha tidak mahu patuh undang-undang, tetapi disebabkan struktur pentadbiran dan proses kelulusan yang mengambil masa lama.
“Ada baiknya tempoh TOL dilanjutkan antara 10 hingga 30 tahun supaya pengusaha boleh mendapatkan lesen daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga diharap dapat memberi tempoh lanjutan sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan bagi membolehkan pengusaha menyelesaikan isu dokumentasi.
Dalam perkembangan sama, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin sebelum ini memaklumkan kerajaan negeri telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi memantau industri pelancongan Semporna secara menyeluruh.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan menyelaras peranan agensi berkaitan serta memastikan tadbir urus dan penguatkuasaan lebih berkesan demi pembangunan pelancongan yang teratur dan mampan.
Menurut laporan KePKAS, daripada 190 pengusaha pelancongan di Semporna, hanya 45 syarikat beroperasi secara sah setakat ini.
