LAHAD DATU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terus memperkukuh usaha kebajikan rakyat melalui pelaksanaan Program Sinar Syawal Yayasan Kebajikan Negara (YKN) serta Jelajah Kasih PSSS “Sa Dengar, Sa Tolong Bah” yang berlangsung di Masjid Nurul Jihad, Kampung Cocos, di sini, hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program berkenaan bertujuan mendekati masyarakat setempat selain membantu individu dan keluarga yang berdepan cabaran hidup, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Beliau berkata, kehadiran pelbagai pihak dalam program itu mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat, terutama golongan memerlukan.
Menurutnya, Ramadan bukan sahaja mendidik umat Islam mengenai kesabaran dan keinsafan, malah mengajar nilai empati terhadap mereka yang berdepan kesukaran hidup.
“Kementerian melalui pelbagai agensi sentiasa berusaha memastikan kebajikan rakyat dipelihara secara menyeluruh, bukan hanya melalui bantuan fizikal tetapi juga sokongan psikososial kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Dalam program sama, Yayasan Kebajikan Negara turut menyampaikan bakul makanan kepada 100 keluarga sekitar Lahad Datu sebagai usaha meringankan beban penerima menjelang sambutan Aidilfitri.
Nancy berkata, sumbangan itu diharap dapat memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga yang memerlukan selain menambah keceriaan mereka membuat persiapan menyambut Syawal.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan peruntukan geran berjumlah RM120,000 kepada empat penerima bagi menyokong aktiviti keagamaan, kemasyarakatan serta kebudayaan di kawasan berkenaan.
Peruntukan itu melibatkan RM10,000 kepada Masjid Nurul Jihad, RM10,000 kepada Masjid Nurul Ulum, RM50,000 kepada Persatuan Sukan, Rekreasi dan Budaya Segama Lahad Datu serta RM50,000 kepada Persatuan Seni Budaya Idaan Kampung Segama.
Beliau berharap bantuan dan peruntukan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk memperkukuh aktiviti kemasyarakatan selain memelihara warisan budaya tempatan agar terus berkembang dan diwarisi generasi akan datang.
Dalam pada itu, Nancy turut memaklumkan kerajaan memahami cabaran yang dihadapi rakyat susulan kenaikan harga minyak global akibat konflik di Asia Barat.
Bagaimanapun katanya, kerajaan tetap berusaha melindungi kepentingan rakyat dengan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter melalui inisiatif BUDI95, termasuk diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program tersebut termasuk pihak masjid, agensi kerajaan, sukarelawan serta pemimpin komuniti setempat.
Nancy berkata, kerjasama antara kerajaan dan masyarakat amat penting dalam membina komuniti yang lebih penyayang serta saling menyokong.
Sebelum mengakhiri ucapan, beliau turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga Lahad Datu dan rakyat Sabah serta berharap sambutan Aidilfitri tahun ini membawa kegembiraan dan mengeratkan lagi hubungan sesama masyarakat.
