KINABATANGAN: Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru, manakala Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Lamag menjadi pertandingan satu lawan satu selepas proses penamaan calon berakhir pagi tadi di Dewan Sri Lamag.
Bagi kerusi Parlimen Kinabatangan, calon Barisan Nasional, Naim Kurniawan Moktar, akan berdepan cabaran daripada calon Parti Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman serta calon Bebas, Goldam Hamid yang merupakan seorang peguam.
Sementara itu, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag, pertandingan menyaksikan pertembungan dua calon sahaja iaitu calon Barisan Nasional, Mohd Ismail Ayob atau Miha dan calon Parti Warisan, Mazliwati Abdul Malek Chua.
Tiada calon lain tampil mengemukakan kertas pencalonan sebelum tempoh penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Eddy Syaizul Rizam Abdullah memaklumkan proses penamaan calon berjalan lancar dan pengumuman rasmi akan dibuat selepas semua prosedur selesai.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi kedua dua pilihan raya kecil ini pada 24 Januari 2026, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 20 Januari 2026.
Pilihan raya kecil ini diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri Lamag berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar bin Radin pada 5 Disember 2025.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini sehingga 11.59 malam 23 Januari 2026.
