Lahad Datu: Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu berjaya mematahkan kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam satu serbuan di Kampung Atiam, petang semalam.
Serbuan yang dijalankan kira-kira jam 3.10 petang itu membawa kepada penahanan sebuah lori jenis rigid jenama Isuzu yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 61 tahun.
Hasil pemeriksaan ke atas lori yang ditutupi kain kanvas menemukan beberapa bungkusan plastik hitam mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan kotak minyak masak bersubsidi jenama “Cap Mawar”.
Siasatan awal mendapati setiap kotak mengandungi 17 paket minyak masak dengan jumlah keseluruhan sebanyak 64 kotak, bersamaan 1,088 paket minyak masak bersubsidi.
Pemandu lori terbabit bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membawa dan menyimpan bekalan tersebut.
Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM42,790.
PPM Lahad Datu menegaskan akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras aktiviti penyelewengan barangan bersubsidi demi memastikan kepentingan rakyat dan negara sentiasa terpelihara.
