PENAMPANG: Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan serta merampas dadah jenis ketamin dalam satu operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) di daerah ini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Sammy Newton berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan selepas polis menjalankan pemeriksaan lanjut ke atasnya.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 19 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis ketamin.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 54.62 gram dengan nilai pasaran kira-kira RM8,193,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek turut mendapati lelaki itu positif dadah jenis ketamin dan tetrahydrocannabinol (THC).
Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama kerana penyalahgunaan dadah, yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika disabitkan kesalahan.
Dalam pada itu, Sammy menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah atau kegiatan dadah di kawasan masing-masing.
