SEMPORNA: Polis memandang serius isu penyediaan dan penjualan makanan eksotik di beberapa resort sekitar daerah ini yang dipercayai melibatkan hidupan liar dilindungi.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pemburuan, pemilikan, penjualan atau penyediaan hidupan liar tanpa kebenaran sah.
“Sebarang aktiviti pemburuan, pemilikan, penjualan atau penyediaan hidupan liar yang dilindungi tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar peruntukan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes berkenaan boleh disiasat di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 (Sabah No. 6 Tahun 1997).
Tegasnya lagi, spesies tenggiling iaitu Pangolin (Manis javanica) merupakan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual 1 enakmen tersebut dan tiada sebarang lesen atau permit dikeluarkan kepada mana-mana individu atau premis termasuk premis pelancongan untuk memiliki, menyimpan, menjual atau menyediakan spesies itu sebagai makanan.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 25(1) enakmen sama, pelaku boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta berdepan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun mengikut Seksyen 25(3)(a).
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang serta sentiasa menghormati usaha pemuliharaan hidupan liar demi kelestarian alam sekitar dan imej Semporna sebagai destinasi pelancongan terkenal.
“Kerjasama masyarakat amat penting. Sekiranya mempunyai maklumat berhubung aktiviti penjualan atau penyediaan makanan eksotik yang melibatkan spesies dilindungi, sila salurkan maklumat kepada pihak polis atau agensi penguat kuasa berkaitan. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” tambah beliau.
Polis akan terus menjalankan pemantauan dan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan undang-undang dipatuhi serta keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
