TAWAU: Cubaan menyeludup minyak diesel bernilai hampir RM650,000 berjaya digagalkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau dalam satu operasi rondaan di perairan Laut Sungai Selipar, Pulau Sebatik, petang Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.21 petang itu, sebuah kapal kargo membawa muatan bunga sawit yang bergerak dari Pulau Sebatik menuju ke Nunukan, Indonesia telah ditahan untuk pemeriksaan oleh pasukan rondaan PPM.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Amri bin Abdul Rahman berkata, kapal tersebut dikendalikan oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kapal berkenaan membawa sebanyak 11,600 liter minyak diesel yang disimpan di dalam tiga tangki minyak berlainan kapasiti serta tiga tong drum berwarna biru,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, juragan kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen sah daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia berkaitan minyak diesel berkenaan, yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
Susulan itu, kapal dan minyak diesel tersebut telah dirampas untuk siasatan lanjut dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM647,850.00.
Tambah beliau, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuh dan mempertingkatkan usaha penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta penyelewengan bahan api bersubsidi demi kepentingan negara dan keselamatan perairan.
