TAWAU: Seorang anggota polis dan seorang suspek lelaki cedera akibat terkena tembakan ketika berlaku pergelutan semasa cubaan tangkapan di kawasan pusat komersial Bazong, di sini, pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah (KPD) Tawau, Supt Champin Bin Piuh, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 10.45 pagi ketika dua anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) sedang menjalankan rondaan ‘bit’ cegah jenayah di Jalan Persisiran Pantai.
Menurutnya, anggota terlibat telah menahan dan memeriksa sebuah kenderaan jenis Perodua Viva berwarna putih yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, lelaki berkenaan bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya. Anggota polis kemudian mengejar suspek dan berjaya menahannya di kawasan pusat komersial Bazong,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Bagaimanapun, Supt Champin berkata, ketika proses pemeriksaan dan tangkapan dilakukan, berlaku pergelutan apabila suspek yang berusia lingkungan 30-an enggan memberi kerjasama serta bertindak agresif.
“Dalam pergelutan tersebut, pistol milik salah seorang anggota yang sedang bertugas terlepas satu das tembakan dan mengenai tangan kiri suspek. Seorang lagi anggota yang membantu dalam tangkapan turut mengalami kecederaan di bahagian paha kanan,” jelasnya.
Kedua-dua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Tawau dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Hasil pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan yang ditinggalkan suspek, polis menemui satu bungkusan berisi serbuk kristal dipercayai dadah jenis syabu.
Kes disiasat di bawah peruntukan undang-undang berkaitan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti latar belakang suspek serta sumber bekalan dadah berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
