LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing bertindak agresif dan cuba melarikan diri ketika cuba ditahan polis sebelum berjaya diberkas dalam satu operasi Op Tapis di kawasan Kampung Puyut, Jalan Pantai, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Dzulbaharin Ismail berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) kira-kira jam 10.30 malam pada 7 Mac ketika operasi dijalankan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan cuba bertindak agresif dan melarikan diri ketika pihak polis cuba menahannya, namun berjaya diberkas selepas tindakan pantas anggota bertugas.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemui sebuah beg silang berwarna hitam yang mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 51.73 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui sembilan gulung kertas timah yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek turut positif dadah,” katanya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah.
Dzulbaharin menegaskan, operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pihak polis dalam membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.
“Polis akan terus mempergiatkan operasi bagi memastikan kegiatan dadah dapat dibanteras demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” tegasnya.
