KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah hari ini menerima sumbangan berjumlah RM4.17 juta daripada POIC Sabah sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan agensi itu dalam menyokong kedudukan kewangan serta pembangunan ekonomi negeri.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2 juta disumbangkan terus kepada Kerajaan Negeri manakala RM2.17 juta lagi merupakan bayaran balik pinjaman Persekutuan bagi tahun 2025.
Kerajaan Negeri menyatakan penghargaan atas sumbangan berkenaan dan memberi jaminan bahawa setiap hasil yang diterima akan dimanfaatkan sebaiknya demi memperkukuhkan ekonomi negeri serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah.
Penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Datuk Wilfred Madius Tangau selaku Pengerusi POIC Sabah yang baharu melalui penyerahan replika cek kepada Timbalan Setiausaha Tetap Kewangan,Chee Shok Ting.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan,Datuk Ewon Benedick,
Setiausaha Kerajaan Negeri,Datuk Safar Untong, Setiausaha Tetap Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan; Datuk Thomas Logijin, serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan POIC Sabah,Datuk Fredian Gan.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, menzahirkan penghargaan kepada pengurusan POIC Sabah atas sumbangan berterusan yang disifatkan sebagai penting dalam menyokong keupayaan kewangan negeri dan memperkasa agenda pembangunan ekonomi Sabah secara mampan.
