KOTA KINABALU: Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) terus memperkukuh komitmen kebajikannya apabila menyampaikan sumbangan sedekah kepada keluarga Allahyarhamah Hajjah Noriah Haji Mulok sebagai tanda keprihatinan dan solidariti terhadap waris bekas pendidik berkenaan.
Sumbangan itu disampaikan Naib Presiden II PMPS, Datuk Haji Sapawae Haji Tusin yang mewakili Presiden PMPS, Dr Aslie Haji Sahat, dalam satu majlis ringkas namun penuh bermakna di sini.
Sapawae berkata, sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan persatuan dalam menjaga kebajikan warga pendidik termasuk mantan guru serta ahli keluarga mereka, selaras dengan semangat kekeluargaan yang menjadi teras perjuangan PMPS.
“Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, ia adalah tanda ingatan, penghargaan dan sokongan moral daripada PMPS kepada keluarga Allahyarhamah. Persatuan sentiasa menghargai jasa serta pengorbanan warga pendidik dalam membangunkan modal insan negeri Sabah,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Sumbangan itu diterima anak Allahyarhamah, Cikgu Saiful Waidi Tajudin Jaman, bagi pihak keluarga.
Turut hadir Setiausaha Agung PMPS, Ali Majittaba; Penolong Setiausaha Agung, Dr Kassim Haji Buntak; serta Pengerusi PMPS Tuaran merangkap Ahli Jawatankuasa Pusat, Dr Mastan Gaga.
Kehadiran barisan kepimpinan PMPS mencerminkan semangat kebersamaan dan sokongan berterusan persatuan terhadap ahli serta keluarga warga pendidik di negeri ini.
Sementara itu, Saiful Waidi mewakili keluarga Allahyarhamah merakamkan penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan serta sumbangan yang disalurkan.
Beliau berkata, bantuan dan sokongan moral berkenaan amat bermakna buat keluarga dalam menghadapi saat sukar selepas pemergian insan tersayang.
Sebelum ini, PMPS aktif melaksanakan pelbagai program kebajikan termasuk ziarah prihatin dan penyampaian bantuan kepada ahli serta keluarga yang ditimpa musibah.
Inisiatif berterusan itu selaras dengan matlamat penubuhan persatuan untuk menjaga kebajikan mantan pendidik serta memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan ahlinya di seluruh Sabah.
