KOTA KINABALU: Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah yang diwakili oleh Ketua Setiausaha Politiknya, Encik Azrul Ibrahim di Menara Kinabalu, di sini pada Isnin lalu, sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan dan kebajikan pesara.
Rombongan lapan pemimpin tertinggi PMPS diketuai Presidennya, Dr Aslie Sahat, bersama Timbalan Presiden, Husain Basir; Naib Presiden, Datuk Dr Julkifli Sukor dan Datuk Sapawae Husin; Setiausaha Agung, Alli Majittaba; Penolong Setiausaha, Dr Kassim Buntak; wakil SJKT, Hj Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik @ Charles serta Lawasa Amat Kassim.
Menurut Dr Aslie, kunjungan itu bertujuan memperkukuh jaringan kerjasama antara mantan pendidik dan kepimpinan kerajaan negeri dalam memperkasa agenda pembangunan pendidikan serta kebajikan warga pesara di Sabah.
“Dalam sesi perbincangan, kami mengemukakan cadangan permohonan geran tahunan bagi membolehkan persatuan melaksanakan pelbagai program sepanjang tahun.
“Ia merangkumi program kebajikan ahli, wacana ilmiah, khidmat masyarakat, bimbingan sukarela ke sekolah luar bandar serta inisiatif pengupayaan komuniti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mantan pendidik bukan sekadar penerima manfaat kebajikan, sebaliknya aset strategik negeri yang masih mampu menyumbang kepakaran, pengalaman serta jaringan komuniti luas hasil perkhidmatan puluhan tahun dalam bidang pendidikan dan pentadbiran awam.
“Persaraan bukan noktah perjuangan, sebaliknya fasa baharu untuk terus menyumbang secara lebih bebas dan strategik kepada pembangunan modal insan negeri,” katanya.
Sementara itu, PMPS merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri atas kesediaan menerima kunjungan berkenaan serta memberi ruang dialog yang terbuka dan konstruktif.
Penghargaan turut dizahirkan kepada Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri atas sambutan profesional dan maklum balas positif terhadap hasrat serta perancangan strategik persatuan itu.
PMPS yakin kerjasama erat antara kerajaan negeri dan persatuan mantan pendidik mampu menjadi pemangkin kepada agenda pembangunan yang lebih inklusif, berterusan dan berteraskan pengalaman lapangan sebenar.
