KINABATANGAN: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Lamag, Datuk Abu Bakar Gapar menyifatkan penganugerahan Pingat Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) sebagai amanah besar untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
Beliau berkata, pengurniaan yang membawa gelaran Datuk itu bukan hanya pengiktirafan terhadap dirinya, sebaliknya penghargaan kepada seluruh warga Lamag yang sentiasa memberi sokongan.
“Ini bukan untuk saya semata-mata, tetapi untuk kita semua di Lamag. Ia menjadi suntikan semangat untuk terus berkhidmat dengan amanah, dedikasi dan integriti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sempena penganugerahan berkenaan yang diadakan di Pejabat PGRS Lamag, Bukit Garam, baru-baru ini.
Majlis itu dihadiri oleh pemimpin PGRS Bahagian Lamag, sayap-sayap parti dan Ahli-Ahli Jawatankuasa (AJK) serta ketua-ketua cawangan parti.
Abu Bakar turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah atas perkenan mengurniakan darjah kebesaran berkenaan, selain berterima kasih kepada kerajaan negeri.
Beliau turut menzahirkan rasa terharu dengan penganjuran majlis berkenaan yang disifatkan sebagai satu kejutan serta amat dihargai.
Terima Kasih kepada Tuan Mahali Jahaya selaku SUB dan semua yang merancang kejutan ini..
Pada masa sama, beliau mengakui sokongan berterusan daripada kepimpinan bahagian dan akar umbi menjadi kekuatan utama untuk terus menerajui perjuangan parti di kawasan itu.
“Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk membawa masalah rakyat, termasuk yang mungkin tercicir, ke pengetahuan pihak berkepentingan dan menjadi jambatan antara rakyat dan pihak berkuasa,” katanya.
Abu Bakar turut menyeru agar perpaduan dan silaturahim terus diperkukuh dalam kalangan masyarakat walaupun berbeza fahaman politik demi kesejahteraan bersama.
