LAHAD DATU: Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu mencatatkan kejayaan memberangsangkan apabila merekodkan 13 serbuan dan 24 laporan polis sepanjang Op Taring Esszone serta operasi risik sepanjang Mac 2026.
Operasi yang digerakkan Cawangan Risik Task Force dan Kompeni C itu berjaya menahan seramai 18 individu, terdiri daripada 10 lelaki dan 8 wanita.
Daripada jumlah tersebut, 10 tangkapan melibatkan warga tempatan, manakala lapan lagi adalah warga asing.
Nilai keseluruhan rampasan pula mencecah RM4,129,045.55 melibatkan pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan rokok tanpa cukai, mercun, barang kawalan seperti petrol dan diesel, produk sejuk beku serta hidupan liar dilindungi.
Antara kes menonjol adalah pada 25 Mac lalu di Felda Sahabat 2 apabila seorang lelaki warga asing ditahan bersama lima paket kecil dadah jenis syabu seberat 0.76 gram.
Turut dirampas sebanyak 360 bungkus rokok kretek dipercayai diseludup tanpa cukai. Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Kastam 1967 serta Akta Imigresen 1959 atau 1963.
Dalam satu lagi operasi pada 12 Mac, pihak PGA dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah menahan dua warga tempatan di Jalan Dam dan merampas 148 ekor burung liar dilindungi bersama 64 sangkar besi.
Rampasan itu dianggarkan bernilai RM245,500 dan disiasat di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Selain itu, pada 18 Mac di Kampung Burung, dua lelaki tempatan ditahan bersama pelbagai jenis mercun tanpa permit serta dua lori yang digunakan untuk pengangkutan.
Nilai rampasan bagi kes tersebut dianggarkan RM494,250 dan disiasat di bawah Akta Bahan Letupan 1957.
Secara keseluruhan bagi suku pertama tahun 2026, Batalion 17 PGA Lahad Datu merekodkan jumlah rampasan sebanyak RM6,624,389.70.
Kesemua tangkapan sepanjang Mac melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959 atau 1963, Akta Kawalan Bekalan 1961, Enakmen Haiwan Sabah 2015 serta Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Pihak PGA Lahad Datu turut merakamkan penghargaan kepada agensi terlibat termasuk Majlis Daerah Lahad Datu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia serta Jabatan Hidupan Liar Sabah atas kerjasama dalam operasi penguatkuasaan.
Mereka turut menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras jenayah serta menyeru masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
