KUALA LUMPUR: Kewujudan semula potfolio yang bertanggungjawab secara khusus mengenai hal ehwal Sabah dan Sarawak rentetan rombakan kabinet Madani tempoh hari amat dinantikan terutama melibatkan isu pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihaknya berharap Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) yang kini dipimpin oleh tokoh berasal dari Sabah mampu memberikan impak positif kepada perkembangan pelaksanaan terbabit.
Jelas beliau, kesepakatan kerajaan antara pusat dan negeri dilihat akan memberi kesan signifikan terhadap perkara tersebut yang turut mengambil kira situasi harmoni di negara ini.
“Selaku wakil rakyat dari negeri Sabah, Putatan amat berbesar hati dan menghargai keprihatinan Baginda Tuanku mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Bahkan, kewujudan semula potfolio yang bertanggungjawab secara khusus terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak rentetan daripada rombakan kabinet Madani pada akhir Disember lalu dijangka memberi impak positif kepada pelaksanaan MA63.
“Kita berharap, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) yang kini dipimpin oleh YB Sepanggar dapat mengemudi setiap ikhtiar serta rencana penting untuk memuktamadkan setiap satu perkara di bawah MA63 dengan jelas dan berstruktur bersandarkan kepada lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan, “katanya.
Tambah beliau, keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober, 2025 berkenaan kajian semula kadar Pemberian Khas Negeri Sabah dapat mengilhamkan jalan-jalan terbaik ke arah memformulakan kadar tetap Pemberian Khas Negeri Sabah.
Shahelmey berkata demikian dalam sesi ucapan perbahasan menjunjung Titah Tuanku Agong bagi mesyuarat pertama penggal ke-lima, di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, selain isu MA63, beliau turut menggariskan dua perkara lain dalam perbahasan beliau melibatkan dasar pendidikan negara 2035 dan kelewatan penyiapan projek pembangunan persekutuan di Sabah.
“Bagi perkara berkenaan dasar pendidikan, saya menyuarakan kebimbangan mengenai keciciran pendidikan merupakan masalah yang tidak berpenghujung yang memerlukan pelan penyelesaian yang tuntas daripada Kementerian Pendidikan.
“Manakala bagi isu pembangunan di Sabah, Putatan menyuarakan isu kelewatan penyiapan projek pembangunan dan kita juga meminta kementerian berkaitan supaya memerincikan tempoh serta status siap pelaksanaannya, ” katanya lagi.
