LAHAD DATU: Pertubuhan Amal Azzahra Sabah tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu semalam berhubung satu hantaran di media sosial yang didakwa menghina Al-Quran.
Pengerusinya, Noorrija Achmad berkata tindakan tersebut dibuat susulan kemarahan dan kekecewaan umat Islam terhadap perbuatan yang disifatkan sangat biadap serta mencalar perasaan penganut agama Islam.
Menurut beliau, pihaknya memandang serius perkara berkenaan kerana Al Quran merupakan kitab suci umat Islam yang wajib dihormati oleh semua pihak tanpa mengira agama dan latar belakang.
Katanya lagi, perbuatan menghina atau memperlekehkan kitab suci bukan sahaja menyinggung sensitiviti umat Islam, malah boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Sehubungan itu, Pertubuhan Amal Azzahra Sabah menggesa pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap individu yang dipercayai terlibat dalam penyebaran kandungan tersebut di Facebook.
Pada masa sama, pihaknya turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menjalankan siasatan bagi mengesan pemilik akaun media sosial berkenaan supaya tindakan tegas dapat diambil mengikut undang undang sedia ada.
