BINGKOR: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Kerajaan Sabah yang mengekalkan larangan ke atas penanaman, pengimportan serta penyelidikan pokok guarana di negeri ini demi melindungi kelestarian sektor pertanian tempatan.
Pengerusinya, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata langkah yang diambil oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negerj, Datuk Jamawi Jaafar, adalah wajar dan bertepatan dengan keperluan semasa bagi mengekang risiko ancaman penyakit tumbuhan dari luar negara.
Menurut beliau, kemasukan penyakit berbahaya seperti South American Leaf Blight (SALB) berpotensi memberi kesan besar terhadap industri getah Sabah, yang menjadi sumber pendapatan utama ribuan pekebun kecil di negeri ini.
“Langkah pencegahan awal amat penting bagi memastikan sektor pertanian negeri kekal stabil dan tidak terdedah kepada ancaman penyakit tumbuhan yang boleh menjejaskan ekonomi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, pematuhan sepenuhnya terhadap Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 serta peraturan berkaitan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak tanpa pengecualian.
“Perlindungan biodiversiti, keselamatan agromakanan serta kelangsungan ekonomi pekebun kecil mesti menjadi keutamaan bersama, selari dengan usaha kerajaan negeri menjaga kepentingan jangka panjang Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, Yazid menyeru semua pihak agar tidak terbabit dalam sebarang aktiviti pengimportan, pembiakan, penanaman atau penyelidikan pokok guarana tanpa kebenaran rasmi daripada pihak berkuasa berkaitan.
Katanya, persatuan itu akan terus menyokong dan mendukung usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan sektor pertanian negeri kekal selamat, berdaya tahan dan mampan demi kesejahteraan rakyat.
