KOTA KINABALU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, menegaskan kedaulatan Sabah tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak luar, sambil menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas yang disuarakan Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah, Azrul bin Ibrahim.
Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkan itu bukan sekadar pandangan politik, sebaliknya mencerminkan suara dan sentimen sebenar rakyat Sabah yang berpegang teguh bahawa negeri ini adalah sebahagian daripada Malaysia yang berdaulat dan tidak boleh dipertikaikan.
Beliau berkata, sebarang usaha untuk menghidupkan semula tuntutan terhadap Sabah adalah tidak wajar, malah bercanggah dengan prinsip kedaulatan negara serta undang-undang antarabangsa yang diiktiraf.
“Sabah bukan isu yang boleh dipolitikkan atau dijadikan alat untuk kepentingan pihak tertentu. Kedaulatan negeri ini perlu dihormati dan dipertahankan bersama oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut menyokong gesaan agar pihak berwajib terus mengambil langkah sewajarnya melalui saluran diplomatik bagi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang cabaran luar.
Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat supaya kekal tenang, memperkukuh perpaduan dan tidak mudah terpengaruh dengan kenyataan pihak luar yang boleh menjejaskan keharmonian serta kestabilan negeri.
Tegasnya, Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor akan terus berdiri teguh bersama rakyat Sabah dalam mempertahankan keamanan, kestabilan dan kedaulatan negeri ini demi generasi akan datang.
