PUTATAN: Kemuafakatan antara pihak sekolah dan golongan ibu bapa dapat membentuk jati murid-murid persekolahan mendepani cabaran serta kepentingan di negeri ini pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, kesinambungan jalinan kerjasama itu juga dilihat membentuk kecemerlangan anak-anak bukan sahaja bermula dari rumah bahkan di persekitaran sekolah.
Jelasnya, peranan ibu bapa menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersama tenaga pengajar mampu meningkatkan mutu dan kualiti proses pembelajaran murid agar sejajar dengan hasrat kerajaan melahirkan insan pelapis pemimpin di masa hadapan.
“Permuafakatan seumpama ini diharapkan dapat membina kesefahaman tugas dan tanggungjawab bersama dalam usaha meningkatkan mutu pengajaran guru-guru dan pembelajaran murid-murid di sekolah.
“Di samping itu, PIBG juga mempunyai peranan saling melengkapi terhadap fungsi Kementerian Pendidikan dalam menyediakan prasarana dan suasana sekolah lebih kondusif kepada para murid, ” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung PIBG SMK Putatan, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Penampang; Rusmadi Ahmad, Pengetua SMK Putatan; Zarida Mohd Junaidi dan Naib Yang Di-Pertua PIBG SMK Putatan; Jamuludin Usman.
Mengulas lanjut mengenai program itu, Shah Alfie menjelaskan ianya merupakan satu wadah terbaik dalam mencari resolusi bersama untuk terus memacu kecemerlangan di sekolah berkenaan.
“Sehubungan itu, kerjasama antara ibu bapa dan guru di SMK Putatan ini amatlah penting bagi memastikan sekolah ini terus mencapai visi kecemerlangannya.
“Bagi pihak ADUN, kita sentiasa komited memberikan kerjasama kepada pihak sekolah dalam mewujudkan persekitaran kondusif kepada tenaga pengajar, murid-murid dari semasa ke semasa, ” katanya.
