KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Sindumin menegur ketidakkonsistenan Ketua Pemuda DAP Sabah yang mempersoalkan pelantikan Datuk Dr. Yusof Yacob sebagai Pengerusi Sabah Development Berhad (SDB).
Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian itu, Walter @ Fikrie Antahar, menyifatkan kenyataan oleh Chan Loong Wei tersebut bukan sahaja bersifat spekulatif, malah jelas mencerminkan sikap tidak konsisten serta kecenderungan kepada politik persepsi semata-mata.
“Persoalannya, adakah Ketua Pemuda DAP Sabah terlupa sejarah politik partinya sendiri? Ketika era Kerajaan Pakatan Harapan 1.0, pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dipertahankan walaupun beliau berdepan pertuduhan kes mahkamah, atas alasan menghormati prinsip undang-undang dan proses kehakiman,” katanya kenyataan Pergerakan Pemuda itu di Facebook.
Beliau menegaskan bahawa prinsip yang sama seharusnya diguna pakai secara konsisten dan tidak dipilih mengikut kepentingan politik semasa.
“Jika suatu ketika dahulu prinsip kepercayaan kepada proses mahkamah dijadikan sandaran, mengapa hari ini prinsip yang sama dipersoalkan? Sikap sebegini jelas memperlihatkan amalan double standard dan hipokrasi politik,” tegas beliau.
Walter @ Fikrie turut menegaskan bahawa politik berasaskan persepsi dan sentimen tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat Sabah, malah hanya mengundang kekeliruan serta menjejaskan kepercayaan terhadap institusi.
“Pemuda DAP Sabah seharusnya tampil dengan kritikan yang adil, konsisten dan berfakta, bukannya memainkan politik terpilih yang akhirnya merugikan rakyat dan kestabilan pembangunan negeri,” katanya lagi.
Justeru, katanya, Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Sindumin menyeru semua pihak agar mengamalkan politik matang, berprinsip dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat serta masa depan Sabah.
