KOTA KINABALU: Pendekatan Kerajaan Sabah yang memilih kaedah perbincangan dalam melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak wajar disalah tafsir sebagai sikap tunduk, sebaliknya mencerminkan kebijaksanaan kepimpinan negeri dalam memastikan hak Sabah ditunaikan secara menyeluruh dan berkesan.
Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah, berkata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berulang kali menegaskan bahawa tuntutan MA63 sedang dilaksanakan dan berada dalam proses perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, istilah perbincangan sering diputar belit oleh sesetengah pihak dengan menggambarkan kononnya Ketua Menteri tidak tegas serta tunduk kepada kepimpinan di Semenanjung.
“Dakwaan sebegini hanyalah modal politik murahan yang tidak membawa sebarang kebaikan, malah boleh menjejaskan kelancaran usaha memastikan tuntutan MA63 dilaksanakan secara berfasa dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aksyah menegaskan keyakinannya bahawa Kerajaan Persekutuan akan membayar keseluruhan jumlah tuntutan yang tertunggak sejak hampir lima dekad lalu, namun proses itu perlu mengambil kira kedudukan kewangan semasa kerajaan pusat serta pelbagai pertimbangan teknikal lain.
Katanya, atas faktor itu, proses perbincangan dan pemuktamadan perlu dilakukan bagi memastikan pelaksanaan bayaran tuntutan berkenaan dibuat secara tepat, berstruktur dan realistik.
“Pendekatan ini bukan kelemahan, sebaliknya mencerminkan kematangan pentadbiran Kerajaan Sabah dalam mengurus hak negeri sebagai rakan pengasas pembentukan Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Sabah supaya tidak terkeliru atau terpengaruh dengan tuntutan bersifat provokatif yang cuba menggambarkan Kerajaan Negeri seolah-olah tunduk kepada permainan politik licik pihak tertentu.
Aksyah turut menegaskan bahawa tuntutan MA63 akan dilaksanakan secepat mungkin, namun perlu melalui proses yang adil dan berasaskan prinsip menang-menang antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Siapa yang tidak mahu haknya diberikan? Hakikatnya, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Hajiji dan GRS amat memerlukan dana bagi merancakkan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang bermula tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, kestabilan hubungan dan perbincangan berhemah antara kedua-dua pihak adalah kunci untuk memastikan tuntutan bersejarah itu direalisasikan tanpa menjejaskan kepentingan jangka panjang Sabah.
Aksyah turut mengajak semua pihak mendoakan agar proses perbincangan berjalan lancar dan pelaksanaan bayaran tuntutan MA63 dapat dimulakan dalam tempoh terdekat.
