PUTATAN: Bersempena persediaan musim Aidilfitri yang akan datang, penunggang-penunggang motosikal P-hailing di daerah ini digesa meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Ahli Parlimen Putatan; Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata; dalam kesibukan mencari nafkah kepada seisi keluarga, aspek keselamatan perlu jadi keutamaan terutama kerancakan orang ramai membuat persiapan hari raya.
“Sudah tentu, pada musim perayaan Aidilfitri ini, golongan penunggang atau rider P-hailing ini terlibat dengan aktiviti menghantar makanan atau keperluan-keperluan lain yang telah dipesan oleh pelanggan mereka.

“Ya, dalam kesibukan berdepan permintaan pelanggan yang dijangka meningkat, kami di peringkat Parlimen Putatan ingin berpesan supaya utamakan keselamatan terutama ketika menunggang di jalan raya.
“Utamakan kualiti kerja yang efisyen, Insyallah Hari Raya Aidilfitri ini disambut meriah bersama seisi keluarga, “katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC) berkata demikian selepas Program Jom Balik Raya bersama penunggang P-hailing di Stesen Minyak Petronas, Jalan Mat Salleh, Tanjung Aru, dekat sini.
Hadir sama Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA); Datuk Bahrul Razha Chuprat dan Pegawai Khas Kanan Parlimen Putatan; Mohd Sufian Matin.
Dalam majlis berkenaan, beliau turut berkesempatan menyampaikan baucer minyak petrol kepada penunggang P-Hailing dari kawasan Parlimen Putatan dan mengisi minyak para peserta di program tersebut.
