LAHAD DATU: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan motosikal di Jalan Lahad Datu Bypass, Flyover Batu 6 Jalan Lahad Datu–Tawau, kira-kira jam 2.40 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin bin Hj. Ismail berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan 4WD jenis Nissan Navara yang dipandu lelaki berusia 34 tahun bersama tiga penumpang dari arah Tawau menuju ke Lahad Datu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.
Menurut beliau, kenderaan itu kemudian melanggar sebuah motosikal jenis Honda NSS250A yang ditunggang lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai berada di bahu jalan sebelah kiri dalam keadaan berhenti dan berehat di atas motosikalnya.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu dan tiga penumpang kenderaan 4WD tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 41(1) kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.
Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Lahad Datu, Insp. Jafri bin Junat di talian 089-881255 atau hadir terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.
ACP Dzulbaharin turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan berhemah ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini serta membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
