KOTA KINABALU: Satu langkah positif ke arah memperkukuhkan industri pengawal peribadi di Sabah telah direalisasikan dengan penubuhan Sabah Bodyguard Specialist Association (SBSA) pada 1 April 2026.
Persatuan ini ditubuhkan sebagai platform rasmi bagi menghimpunkan pengamal kerjaya bodyguard khususnya anak jati Sabah yang terlibat dalam bidang keselamatan, pengiring rapat orang kenamaan (Close Protection Officer), keselamatan korporat serta pengurusan keselamatan profesional.
SBSA memulakan langkah pertamanya dengan keahlian awal seramai 100 orang ahli, terdiri daripada pengamal bodyguard berpengalaman, bekas anggota keselamatan, pengiring peribadi sambilan serta individu yang aktif dalam industri keselamatan di Sabah.
Persatuan ini dipimpin oleh Presidennya iaitu Mohd Yusof bin Abdullah, yang komited membawa hala tuju persatuan ke arah pembangunan profesionalisme, kebajikan ahli serta memperkukuhkan hubungan silaturrahim sesama pengamal industri bodyguard di negeri Sabah.
Menurut beliau, penubuhan SBSA bukan sahaja bertujuan menyatukan komuniti bodyguard Sabah, malah menjadi satu medium bagi menjaga kebajikan ahli, membuka peluang pembangunan kerjaya serta melaksanakan program-program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“SBSA diwujudkan untuk menjadi suara dan platform penyatuan kepada pengamal bodyguard anak jati Sabah. Selain menjaga kebajikan ahli, kami juga mahu melahirkan pengamal bodyguard yang profesional, beretika dan berdisiplin,” katanya.
Tambah beliau lagi, SBSA turut merancang untuk melaksanakan pelbagai program bermanfaat termasuk aktiviti kemasyarakatan, latihan keselamatan, seminar profesionalisme serta kursus berkaitan industri pengawal peribadi.
Sebagai langkah permulaan, SBSA bersama M&J Global Training & Services merancang untuk menganjurkan Kursus Bodyguard / Close Protection Operation (CPO) di Sabah pada Mei 2026.
Pemilihan M&J Global Training & Services sebagai rakan strategik dan panel training provider dibuat berdasarkan pengalaman, pentauliahan serta pengiktirafan syarikat tersebut dalam bidang latihan bodyguard di Malaysia.
M&J Global dikenali sebagai antara training provider yang memberi penekanan kepada latihan berasaskan operasi sebenar, profesionalisme bodyguard, disiplin serta standard latihan yang selari dengan keperluan industri keselamatan semasa.
Kursus yang dirancang itu dijangka menjadi platform penting kepada anak jati Sabah yang berminat menceburi bidang bodyguard secara profesional, selain memberi peluang kepada pengamal sedia ada untuk meningkatkan kemahiran dan kompetensi mereka.
Penubuhan SBSA dilihat sebagai satu perkembangan positif dalam memperkasakan industri bodyguard di Sabah serta membuka ruang kepada anak-anak tempatan untuk terlibat secara lebih profesional dalam bidang keselamatan dan close protection.
Dengan semangat perpaduan serta hala tuju yang jelas, SBSA diyakini mampu menjadi sebuah persatuan yang berperanan besar dalam menjaga kepentingan, kebajikan serta masa depan pengamal bodyguard di Sabah.
