KOTA KINABALU: Seorang penolong jurutera di Pejabat Daerah Kecil Kiulu didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan berjumlah lebih RM218,000 yang didakwa berkaitan urusan perniagaan ahli keluarganya.
Tertuduh, Aldey Kangit, 44 tahun, mengaku tidak bersalah terhadap kedua dua pertuduhan selepas dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Elsie Primus.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya sebagai penjawat awam untuk memperoleh rasuah berjumlah RM75,998.10 bagi kepentingan sepupunya melalui sebuah syarikat perniagaan di Pejabat Daerah Kecil Kiulu pada 22 Ogos 2023.
Bagi pertuduhan kedua pula, Aldey didakwa melakukan perbuatan sama dengan memperoleh suapan berjumlah RM142,490.50 bagi individu yang sama di lokasi serupa pada 13 September 2023.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan deposit RM10,000 berserta dua penjamin tempatan.
Selain itu, tertuduh turut dikenakan beberapa syarat tambahan termasuk perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setiap dua bulan, tidak mengganggu saksi serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Al Hafidz Mohd Lokman.
Mahkamah menetapkan 23 Februari 2026 sebagai tarikh pengurusan kes.
