KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dalam usaha memperkukuh keselamatan bagi memudahkan pertumbuhan ekonomi Sabah di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 serta memastikan kesejahteraan rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, potensi Sabah untuk menjadi Hub Ekonomi Biru di Asean Timur amat besar berdasarkan kekayaan biodiversiti lautnya dan kedudukan di laluan perdagangan serantau.
“Malah, dalam kerangka Sabah Maju Jaya 2.0, sektor maritim dan Ekonomi Biru dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan baharu negeri melalui pembangunan industri perikanan moden, pengukuhan rantaian nilai makanan laut, pengembangan pelancongan marin, peningkatan infrastruktur pelabuhan serta pembangunan bandar pesisir dan sempadan sebagai hab ekonomi baharu.
“Namun semua potensi ini hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya apabila keselamatan perairan negeri sentiasa terjamin. Tanpa keselamatan yang stabil, pelaburan dalam sektor maritim, pelancongan laut dan industri makanan laut tidak akan berkembang dengan baik,” katanya.
Berucap di majlis penyerahan kuih muih Hari Raya Aidil Fitri kepada anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di Menara Kinabalu hari ini, Ketua Menteri berkata Sabah mempunyai kedudukan strategik dengan garis pantai melebihi 1,400 kilometer.
“Dalam konteks keselamatan negara, Sabah merupakan barisan hadapan Malaysia di Borneo dan di Laut Sulu, sekali gus meletakkan negeri ini sebagai pintu ekonomi maritim Malaysia di rantau ini.
“Khusus di Sabah Timur, kawasan ESSZone atau Zon Selamat Sabah Timur meliputi 10 daerah utama iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Kawasan ini diperkukuh melalui peranan ESSCOM yang menyelaras operasi keselamatan darat, laut dan udara di Pantai Timur Sabah, dan kewujudannya menjadi simbol kedaulatan negara di Sabah Timur.
“Oleh itu, pengukuhan keselamatan amat penting, bukan saja melindungi rakyat, malah membuka ruang kepada pembangunan bandar-bandar sempadan sebagai pintu ekonomi baharu negeri melalui perdagangan rentas sempadan, logistik, pelabuhan dan industri berasaskan sumber laut,” katanya.
Ketua Menteri berkata selain keselamatan fizikal, kesejahteraan negeri juga bergantung kepada keselamatan kesihatan rakyat.
“Kerajaan Negeri amat menghargai peranan petugas kesihatan yang terus komited memerangi penyakit berjangkit termasuk penyakit Tuberkulosis (TB) yang masih menjadi cabaran kesihatan awam di negeri ini.
“Usaha pengesanan awal, rawatan berterusan serta program kesedaran kesihatan yang dilaksanakan oleh petugas kesihatan amat penting dalam melindungi komuniti, khususnya di kawasan luar bandar dan pesisir,” katanya.
Beliau berkata golongan “frontliner” memikul tanggungjawab yang besar memastikan keselamatan anggota masyarakat.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri sentiasa dan akan terus menghargai jasa bakti pasukan keselamatan yang sentiasa berkorban masa, jiwa dan raga, dalam memastikan persempadanan negara terkawal dan selamat.
“Oleh itu sumbangan kuih-muih Hari Raya yang diserahkan ini adalah tanda ingatan dan penghargaan daripada kami.
“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menceriakan suasana bertugas dan menjadi pembakar semangat buat pasukan keselamatan dan petugas kesihatan untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi menjaga kedaulatan, keselamatan, kesejahteraan rakyat dan negara yang tercinta,” katanya.
