LAHAD DATU: Pengerusi Masjid Nurul Aman Taman Aman Jaya, Dr. Haji Mohammad Ayub Yakub mewakili Ahli Jawatankuasa dan seluruh jemaah masjid menzahirkan setinggi-tinggi ucapan tahniah atas penganugerahan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu P.G.D.K yang membawa gelaran Datuk kepada YBhg Datuk Ustaz Haji Awang Juri Awang Tahir.
Beliau yang juga mantan Pegawai Daerah Lahad Datu serta tokoh dalam Badan Dakwah Lahad Datu menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu penghormatan besar terhadap jasa dan sumbangan berterusan dalam bidang dakwah serta pembangunan ummah di Sabah khususnya di Pantai Timur.
Menurutnya, anugerah itu bukan sahaja mengangkat martabat individu yang diraikan, malah turut menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus berkhidmat dengan penuh keikhlasan, integriti dan komitmen tinggi dalam setiap lapangan yang diceburi.
“Penganugerahan ini adalah bukti bahawa usaha dakwah dan kepimpinan berteraskan agama sentiasa dihargai. Ia juga mencerminkan kepercayaan kepimpinan negeri terhadap peranan ulama dan pendakwah dalam membentuk masyarakat yang harmoni,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau lagi, Datuk Ustaz Haji Awang Juri dikenali sebagai seorang tokoh yang aktif dalam menyatukan masyarakat melalui pendekatan dakwah yang sederhana, berhemah dan menyentuh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Dr. Haji Mohammad Ayub turut berharap agar pengiktirafan tersebut akan menjadi pemangkin kepada penerima untuk terus memperluaskan usaha dakwah dan kebajikan, selain melahirkan lebih ramai generasi pelapis yang komited dalam perjuangan membina masyarakat berteraskan nilai Islam.
Beliau dalam masa sama menyeru seluruh masyarakat di Lahad Datu agar menjadikan pencapaian ini sebagai contoh terbaik dalam mengangkat nilai pengorbanan, keikhlasan dan khidmat kepada agama, bangsa dan negeri Sabah secara keseluruhannya.
