KOTA KINABALU: Ketua Pemuda UPKO Nasional, Felix Joseph Saang, menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan arahan pembayaran 40 peratus hak Sabah sebagai sesuatu yang amat mendukacitakan rakyat negeri ini.
Menurutnya, keputusan itu bukan sekadar melibatkan aspek perundangan, tetapi turut menyentuh soal keadilan, maruah serta hak wilayah Sabah yang telah lama diperjuangkan.
“Sememangnya kita menghormati keputusan mahkamah sebagai institusi tertinggi dalam menegakkan undang-undang.
“Namun, perkara ini perlu dilihat dari sudut yang lebih luas dan dinamik, khususnya dalam konteks sejarah penubuhan Malaysia, semangat Persekutuan serta hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Felix menegaskan hak Sabah bukanlah satu ihsan, sebaliknya merupakan kewajipan yang perlu ditunaikan dan dihormati oleh Kerajaan Persekutuan.
Katanya, penangguhan terhadap keputusan yang sebelum ini memihak kepada Sabah memberi gambaran bahawa kepentingan dan suara negeri ini masih boleh diketepikan.
“Dari sudut politik, situasi ini menguji keikhlasan serta komitmen kepimpinan Persekutuan dalam menunaikan janji kepada Sabah, khususnya dalam memperkukuh pelaksanaan MA63.
“Ini juga menjadi peringatan kepada kepimpinan negeri untuk perlu terus bersatu dan tegas dalam mempertahankan hak-hak Sabah tanpa kompromi,” katanya.
Sehubungan itu, Felix menyeru agar semangat wilayah Sabah terus diperkukuh dalam kalangan rakyat dan menegaskan perjuangan ini bukan hanya terletak di bahu pemimpin.
“Ia merupakan tanggungjawab bersama demi memastikan masa depan negeri yang lebih adil, seimbang dan bermaruah dalam Persekutuan Malaysia,” tegasnya.
