KOTA KINABALU: Pemuda Gagasan Rakyat Sabah mengambil maklum perkembangan semasa berkaitan isu yang sedang menjadi perhatian masyarakat khususnya di negeri ini dan menggesa agar ia ditangani secara berhemah serta bertanggungjawab.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sabah, Azrul Ibrahim berkata, sebarang isu yang melibatkan kepentingan rakyat tidak wajar ditangani secara tergesa-gesa sehingga boleh menimbulkan kekeliruan atau kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, pendekatan menyeluruh yang berpaksikan fakta, perundangan serta kepentingan jangka panjang Sabah perlu menjadi asas dalam setiap tindakan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak.
“Pemuda Gagasan Rakyat Sabah berpandangan bahawa isu berkaitan rakyat harus dinilai secara matang dan berlandaskan fakta supaya tidak mencetuskan salah faham atau ketegangan dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azrul turut menegaskan sokongan berterusan Pemuda Gagasan Rakyat Sabah terhadap usaha kerajaan negeri dalam memastikan kestabilan politik, pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan golongan belia agar memainkan peranan sebagai ejen perpaduan dan perubahan positif, bukannya menjadi penyumbang kepada perpecahan atau penyebaran maklumat yang tidak sahih.
Sehubungan itu, Pemuda Gagasan Rakyat Sabah menyeru semua pihak supaya berlapang dada, menghormati proses yang sedang berjalan serta memberi ruang kepada pihak berautoriti untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya.
Pemuda Gagasan Rakyat Sabah, katanya, akan terus komited memperjuangkan suara belia dan rakyat Sabah demi memastikan masa depan negeri ini kekal stabil, progresif dan sejahtera.
