KENINGAU: Keprihatinan terhadap nasib golongan memerlukan terus dizahirkan apabila Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Keningau, Encik Rafie Robert, turun padang menziarahi sebuah keluarga yang sedang berdepan ujian hidup di Kampung Gasabon, di sini, semalam.
Kunjungan bersama Sekretariat Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) pada 17 Mac itu adalah bagi menyantuni keluarga Fredline Bin Michael, selain menyampaikan sumbangan bantuan berupa barangan makanan dan wang tunai bagi meringankan beban mereka, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Rafie berkata, program ziarah seumpama itu mencerminkan komitmen berterusan Pemuda GRS Keningau dalam menyemai nilai keprihatinan serta semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Dalam suasana umat Islam menjalani ibadah Ramadan dan membuat persiapan Aidilfitri, masih ada keluarga yang diuji dengan kesusahan. Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk bersama-sama membantu mengikut kemampuan,” katanya.
Menurutnya, sumbangan yang disalurkan diharap dapat meringankan beban ditanggung, selain memberi suntikan semangat kepada keluarga berkenaan untuk terus tabah menghadapi cabaran hidup.
Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempergiatkan aktiviti kebajikan dan turun padang bagi memastikan kebajikan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman, sentiasa diberi perhatian.
“Inisiatif berkenaan selari dengan semangat Ramadan yang menuntut umat Islam untuk memperbanyakkan amalan kebajikan serta membantu golongan kurang bernasib baik”, katanya.
