Pemuda Gagasan Rakyat mengecam sekeras-kerasnya kenyataan oleh Senator Robin Padilla yang menggesa agar tuntutan Filipina ke atas Sabah dihidupkan semula. Kenyataan tersebut jelas tidak bertanggungjawab dan bercanggah dengan prinsip kedaulatan serta undang-undang antarabangsa.
Kami ingin menegaskan bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia yang berdaulat dan kedudukannya tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak. Cuba mengaitkan Sabah dengan isu sumber minyak dan tenaga sebagai alasan untuk menghidupkan tuntutan lapuk adalah tidak berasas dan jelas bertujuan mengalih perhatian daripada krisis dalaman yang berlaku.
Sabah bukan komoditi untuk menyelesaikan masalah negara lain. Kami menggesa Kementerian Luar membuat bantahan rasmi terhadap kenyataan tersebut, sementara Kerajaan Persekutuan perlu terus memantau isu ini agar kedaulatan negara terus terpelihara.
Rakyat Sabah juga diseru agar kekal tenang, bersatu, dan tidak terpengaruh dengan kenyataan luar yang boleh menimbulkan kekeliruan.Pemuda Gagasan Rakyat akan terus berdiri teguh mempertahankan negeri ini.
