PUTATAN: Usaha berterusan kerajaan menyokong inisiatif pembangunan sukan tarik tali mampu menarik minat semua lapisan masyarakat di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat; Shah Alfie Yahya (SAY) berkata, sokongan tersebut juga dilihat dapat membimbing generasi pelapis serta meningkatkan mutu sukan tarik tali di Sabah ke peringkat lebih tinggi.
“Saya percaya sokongan ini memberikan suntikan kepada penggemar sukan berkenaan dan seterusnya mengangkat arena tarik tali Sabah ke medan lebih tinggi, ke peringkat antarabangsa.
“Sehubungan itu, saya juga berharap banyak program sukan tarik tali ini diperluaskan dari peringkat akar umbi sehinggalah ke tahap profesional dengan mempelbagaikan kaedah demi memajukan sukan tersebut dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program majlis penutupan Karnival Pembangunan Sukan Tarik Tali Sabah 2026 di Kompleks Belia dan Sukan (Persekutuan), di sini, pada Ahad.
Hadir sama adalah Presiden Persatuan Tarik Tali Negeri Sabah (SATWA); Mohd Junaidi Mohd Zakaria dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat; Latip Jiar.
Sementara itu, mengulas mengenai program tersebut, SAY berkata, pihaknya berpuas hati dengan intipati program pihak penganjur yang dilihat amat strategik dalam membangun sukan tarik tali di Sabah dan Putatan, secara amnya.
“Saya melihat penganjuran karnival ini sebagai satu langkah tepat kerana ia merangkumi aspek pembangunan yang menyeluruh bermula daripada latihan jurulatih, pencarian bakat baharu dalam tarik tali indoor yang mula diperkembangkan di negara ini.
“Kita berharap program ini dijadikan panduan untuk terus memajukan sukan tarik tali untuk melahirkan ramai atlet profesional dan barisan pelapis berbakat di masa hadapan, “katanya.
Sementara itu, antara pertandingan diadakan dalam karnival terbabit adalah pertandingan tarik tali outdoor terbuka yang menyaksikan pasukan Rampbow dinobatkan juara selepas menewaskan pasukan Reborn selaku naib juara.
Pasukan Gerambeat dan Atur Terus Jadi masing-masing berkongsi tempat ketiga dalam pertandingan yang disertai pelbagai pasukan dari seluruh Sabah itu.
Manakala bagi pertandingan tarik tali indoor pula dimenangi oleh pasukan Panther I dengan naib johan (Panther II) dan tempat ketiga (Orca dan TOT).
