LAHAD DATU: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Vigo terbabas sendiri sebelum melanggar penghadang jalan dan terjatuh ke dalam lubang pembentungan sedalam tujuh meter di Jalan Pantai menghala ke Bandar Lahad Datu, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.04 pagi itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum jentera tiba di lokasi kejadian pada jam 7.08 pagi, kira-kira dua kilometer dari balai.
Ketua Balai BBP Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Bin Rashid berkata, kemalangan berkenaan melibatkan sebuah kenderaan Toyota Vigo yang dipercayai terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam lubang pembentungan (jacking pit) yang sedang dalam pembinaan oleh Jabatan Pembentungan dan Saliran Sabah.
“Pasukan bomba mendapati terdapat dua mangsa berada di dalam lubang pembentungan berkenaan. Kedua-dua mangsa berjaya dibawa keluar menggunakan tali dan stretcher oleh anggota bomba,” katanya.
Menurut beliau, seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala seorang lagi mangsa dilaporkan cedera dengan patah tangan.
Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Muhammad Almadi bin Hassan, lelaki manakala mangsa cedera ialah Wilyamil bin Ahajul, 34 tahun.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan LANJUT sementara mangsa cedera dibawa ke hospital menaiki ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan.
Seramai 14 anggota BBP Lahad Datu yang diketuai PBKII Mohd Noor Bin Asri terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan jentera FRT, EMRS, FRV dan CFRT serta kerjasama agensi lain termasuk KKM dan PDRM.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.07 pagi selepas pasukan bomba memasang sawar keselamatan dan memastikan keadaan di lokasi kejadian berada dalam keadaan selamat.
