TARAKAN: Sebuah pesawat milik Pelita Air jenis AT-802 dengan nombor pendaftaran PK-PAA dilaporkan terhempas di kawasan perbukitan berhampiran hujung landasan 22 Lapangan Terbang Long Bawan, Kecamatan Krayan, Kalimantan Utara, petang Khamis.
Pesawat yang hanya membawa seorang juruterbang itu berlepas dari Tarakan pada jam 12.10 tengah hari waktu tempatan sebelum dilaporkan mengalami masalah ketika menghampiri Long Bawan. Juruterbang dikenali sebagai Kapten Hendrik disahkan maut dalam kejadian tersebut.
Komandan Pangkalan Udara Anang Busra, Marsma TNI Andreas A. Dhewo berkata, keadaan cuaca ketika kejadian dilaporkan kurang baik dengan awan rendah, hujan ringan dan jarak penglihatan sekitar enam kilometer.
Menurutnya, saksi di apron Lapangan Terbang Long Bawan melihat pesawat menurun dalam posisi condong sebelum hilang di belakang bukit di hujung landasan 22 kira-kira jam 12.25 tengah hari.
Pada masa sama, sebuah pesawat milik Susi Air yang berada di kawasan itu mengambil keputusan berpatah balik ke Malinau kerana cuaca buruk. Dalam perjalanan, pesawat berkenaan menerima isyarat Emergency Locator Transmitter dalam radius kira-kira lima kilometer dari laluan akhir landasan 22.
Penduduk kemudian melihat kepulan asap hitam sebelum pasukan gabungan yang terdiri daripada anggota TNI AU, tentera darat dan masyarakat setempat bergerak ke lokasi.
Pesawat akhirnya ditemui pada jam 2.33 petang dalam keadaan terhempas bersama jasad juruterbang. Mangsa kemudian dievakuasi ke Hospital Pratama Long Bawan pada jam 3.20 petang.
Pihak berkuasa memaklumkan, ketika kejadian paras awan berada pada ketinggian 1,400 kaki sebelum menurun kepada 1,000 kaki, sekali gus meningkatkan risiko penerbangan di kawasan tersebut.
Pasukan gabungan merancang untuk ke Long Bawan menggunakan pesawat MAF pada pagi Jumaat sekiranya keadaan cuaca mengizinkan. Jenazah juruterbang dijangka diterbangkan ke Balikpapan sebelum dibawa ke Jakarta.
Pihak berkuasa bersama agensi terlibat turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berjanji akan membantu proses penghantaran jenazah secepat mungkin. Basarnas Tarakan memaklumkan, pihaknya menerima laporan pesawat hilang hubungan pada jam 12.20 tengah hari sebelum lokasi nahas dikenal pasti kira-kira dua jam kemudian.
