TAWAU:Seorang pekerja stor dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat lebih tiga kilogram, Mac lalu.
Tertuduh, Hadriansyah Sabran, 42, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 3,017.04 gram di sebuah stor penyimpanan kenderaan di Jalan Sin Onn, kira-kira jam 7.30 malam, pada 13 Mac lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta maksimum 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Jeffrey Kadisun yang memohon tarikh sebutan bagi serahan laporan kimia.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam dan menetapkan 27 April depan untuk sebutan semula kes.
/
